Kanak-kanak sekarang lebih suka tengok tablet berbanding membaca buku.
Amalam membaca semakin terpinggir dan tak hairan kalau lama kelamaan
anak-anak semakin tidak suka membaca. Bagiamana cara hendak membuatkan
si kecil suka akan buku. Ada tips yang boleh anda gunakan untuk
merangsang anak suka membaca buku berbanding menghadap tablet 24 jam.
Membaca buku lebih banyak faedahnya berbanding melihat tablet.
Anak yang rajin membaca buku lebih bijak, berpengetahuan, kreatif
kerana banyak maklumat yang mereka peroleh dan pelajari daripada buku
berbanding bermain permainan video atau menonton video di tablet.
1. Dedahkan dengan buku
Sejak usia bayi lagi biasakan anak dengan buku. Belikan buku kulit
lembut untuk anak. Tunjukkan kepadanya buku. Rajin membacakan buku dan
bercerita menggunakan buku. Pendek kata anda buat pelbagai aktiviti
merangsang anak menggunakan buku. Jika sejak bayi sudah terbiasa dengan
buku tidak mustahil semakin dia besar semakin suka membaca buku.
2. Ibu ayah juga pembaca buku
Kalau hendak anak rajin baca buku, ibu dan ayah juga mestilah seorang
pembaca buku. Janganlah anda arahkan anak membaca buku tetapi diri
sendiri asyik menghadap televisyen atau pun telefon pintar. Jadi model
contoh kepada anak, barulah anak ikut!
3. Ajak ke kedai buku
Sekiranya keluar bersiar-siar di pusat membeli belah, ajak anak singgah
ke kedai buku. Biarkan dia dengan suasana dalam kedai buku. Jika boleh
biarkan anak belajar memilih buku yang dia suka. Percayalah, lama
kelamaan apabila keluar mesti anak akan mengajak anda ke kedai buku.
4. Hadiahkan buku
Apa kata berikan anak hadiah buku setiap kali hari ulang tahunnya
berbanding membelikan alat permainan yang akhirnya akan disepah atau
dibuang begitu sahaja. Untuk membuatkan lebih menarik, anda belikan buku
yang mempunyai siri atau edisi terhad. Bagi anak yang sudah ke
tadika,mereka ada buku kegemaran masing-masing. Tentu mereka teruja
mendapat buku kegemarannya dalam bentuk edisi terhad.
5. Sediakan rak khas
Bagi membuatkan anak menghargai buku, sediakan satu rak khas dalam
bilik anak untuk dia menyimpan buku-bukunya. Biarkan anak menjaga
koleksi bukunya. Secara tidak langsung dia akan menghargai buku-buku
tersebut sebagai koleksi yang tinggi nilainya.
6. Berkunjung ke pesta buku
Sesekali bawa anak berkunjung ke pesta buku yang mempamerkan pelbagai
koleksi buku. Anak anda pasti teruja dan tidak sabar untuk berkunjung ke
acara begitu lagi di masa akan datang.
7. Sebulan sebuah buku
Sediakan peruntukan sebuah buku sebulan untuk seorang anak. Beritahu
mereka tentang bajet tersebut. Mungkin bajet bagi sebuah buku anda boleh
tentukan mengikut kemampuan masing-masing. Secara tidak langsung
anak-anak akan membuat perancangan buku apa yang akan dibeli untuk bajet
bulan depan. Tentu mereka tidak sabar!
8. Buat pertandingan
Bagi memupuk lagi minat membaca buku, anda boleh adakan pertandingan
siapa baca buku paling banyak bulan tersebut dalam keluarga anda.
Pemenangnya akan menerima hadiah menarik yang memang diidamkan oleh
anak-anak anda. Dengan cara ini mereka akan berlumba-lumba untuk lebih
rajin membaca buku.
9. Ambil tahu apa yang anak baca
Bertanya kepada anak apa yang dibaca akan membuatkan anak berasa
mendapat perhatian. Selain itu jika anak anda berkongsikan ilmu atau
info yang diperoleh daripada buku yang dibaca, tunjukkan minat anda.
Walaupun sebenarnya anda sudah tahu tentang info tersebut, tetapi anda
boleh 'berpura-pura' kagum dengan ilmunya. Sudah tentu anak berasa
bangga dan akan terus rajin membaca buku.
10.Ceritakan kebaikan rajin membaca
Anak kecil memang tidak tahu apa kebaikan yang mereka peroleh jika suka
membaca. Jadi, anda perlu memberikan gambaran dan contoh kebaikan rajin
membaca buku. Misalnya memberitahu si A boleh menang kuiz di sekolah
kerana di rajin membaca, si B boleh jadi penulis terkenal kerana rajin
membaca dan sebagainya lagi.
Sumber : http://pama.karangkraf.com

No comments:
Post a Comment